Saya ingin memberikan jawapan kepada dua persoalan yang ditimbulkan oleh seorang rakan saya yang merupakan seorang ahli politik. Persoalan yang ditimbulkan oleh beliau adalah seperti berikut:

1. Kita bilang jangan kerjasama parti malaya kerana jika kita perintah Sabah pun kita boleh laksanakan banyak kuasa Sabah. Itu saya setuju sangat. Tetapi mengapa ada pemimpin pembangkang Sabah datang kepada Najib dan meminta hak Sabah juga?

2. Jika akhirnya kita tahu orang yang berkuasa di Putrajaya seperti Najib yang boleh 'mendengar' tuntutan hak Sabah, mengapa kita tidak dari awal lagi bekerjasama dengan orang yang bakal ganti tempat Najib? Kerjasama atas dasar pembangkang bukankah itu lebih bermaruah?

Jawapan saya adalah seperti berikut:

Untuk soalan pertama: Mr.Azroy, sebelum saya menjawab persoalan anda yang sudah lama tidak terjawab ini, saya mohon agar anda tidak memberikan tafsiran negatif terhadap saya. Jawapan yang diberikan ini adalah jawapan mengikut pandangan saya secara peribadi berdasarkan kepada kefahaman politik di negara kita, Sabah.

Hak negara Sabah tergadai melalui ketidakmatangan pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu sehingga sekarang. Terdapat kesilapan, kecuaian dan tidak juga salah untuk saya katakan 'terlalu bodoh' kerana menyerahkan hak Sabah yang sepatutnya dilindungi, dipertahankan malah mesti didaulatkan.
Saya yakin Mr.Azroy sangat memahami rentetan perjalanan sejarah dari awal bagaimana negara Sabah Berkerajaan Sendiri dengan status 'negara' diturunkan kepada 'negeri', konsep rakan kongsi empat negara kepada 'negeri ke-12', campurtangan politik malaya yang memporak-porandakan kestabilan politik Sabah dan banyak lagi.

Kesan daripada ini semua telah mengakibatkan hak-hak Sabah dikikis dan terhakis oleh malaya melalui kuasa kerajaan persekutuan. Dari awal perdana menteri malaya sehinggalah yang terkini dikenali sebagai perdana menteri 'malaysia' sejak 16 September 1963, mereka mengetuai usaha untuk merampas hak kerajaan dan rakyat negara Sabah melalui kuasa politik. 

Apabila rampasan hak itu dilakukan melalui saluran politik, maka melalui saluran politik juga hak itu perlu dikembalikan. Walau bagaimanapun, hak-hak negara Sabah tidak boleh dikembalikan sewenang-wenangnya kerana segala-galanya perlu melalui pemimpinnya.

Apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang Tempatan Sabah yang kita kenali iaitu Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan melalui inisiatif MySabah hasil daripada idea Datuk Anifah Aman adalah mengikut saluran perundangan ataupun mekanisma politik. Hak-hak Sabah tidak dapat dituntut jikalau bukan melalui perdana menteri malaysia yang pada masa ini ia dipegang oleh najib.

Hak yang dituntut oleh mereka adalah melibatkan kerajaan persekutuan dan ia berkenaan dengan hak 40% hasil cukai daripada jumlah cukai yang dipungut oleh kerajaan persekutuan dari negara Sabah mesti dikembalikan kepada kerajaan negara Sabah. Jikalau ditakdirkan dalam pru14 ini kerajaan negara Sabah ditadbir oleh parti-parti tempatan, kerajaan parti tempatan ini juga perlu menuntut hak tersebut daripada najib (jikalau pada waktu itu najib menang pru) kerana dia adalah perdana menteri.

Untuk soalan kedua: Untuk menjawab persoalan kedua ini, ia memerlukan beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan secara serius dan dilihat daripada sudut kaca mata sebagai seorang Sabahan yang mempunyai semangat waja yang berjiwa kebangsaan negara Sabah.

Kita benar-benar mengharapkan agar kerajaan dibawah kepimpinan najib ini bertukar. Kita juga sedar bahawa tuntutan hak negara Sabah hanya boleh dikembalikan melalui kerajaan persekutuan dibawah kepimpinan perdana menteri. Kita juga bersedia untuk menjalinkan 'kerjasama' tetapi ia mesti 'bersyarat'. Syaratnya ialah meminta parti-parti malaya memfokuskan perjuangan politik mereka di malaya dan politik di negara Sabah ini diterajui oleh parti-parti tempatan.

Kuasa Politik

Justifikasi kepada syarat ini ialah 'kuasa politik' negara Sabah mesti dikawal oleh orang tempatan walau apa cara sekalipun kerana ini adalah tanah tumpah darah kita, tempat lahir kita dan tempat dimana kita akan melangsungkan keturunan daripada generasi demi generasi akan datang. Kuasa ini mesti dipegang sepenuhnya (seperti kerajaan negara Sarawak) kerana ia adalah kepunyaan hak milik kita dan bukan orang asing (malaya). 

Kuasa Politik negara kita bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh sebaliknya ia mesti dilindungi, dipertahankan dan didaulatkan meskipun ia akan menumpahkan darah. 

Kuasa Politik Sabah MESTI dipegang oleh rakyat negara Sabah! Itu titik Noktah!

Saya yakin bahawa Mr.Azroy juga sedar akan perkara ini dengan jelas. 

Mengapa kita mahu serahkan kunci rumah (kuasa politik) kita ini dan membiarkan ia dipegang oleh orang luar (malaya) yang datang menyinggah atau menumpang? Mengapa kita merelakan diri menjadi seperti "penumpang/orang luar" di rumah sendiri?

Keutamaan

Kerjasama yang mahu dijalinkan dengan pembangkang lain khususnya daripada malaya tidak boleh sesekali mengorbankan hak dan kuasa politik negara Sabah. Perkara ini tidak boleh ditolak-ansur walau apa juga alasan yang munasabah. Perkara ini adalah KEUTAMAAN nombor satu yang mesti dipegang dengan nyawa oleh semua ahli-ahli politik negara Sabah.

Adakah terlalu susah untuk parti-parti malaya (pembangkang) memahami syarat permintaan ini? Semua kerusi ADUN dan Parlimen di Sabah diperuntukkan KHAS untuk bangsa Negara Sabah dan atas sebab itulah ia diwujudkan di Negara Sabah ini.

Hormat

Tindakan pembangkang parti-parti malaya yang mahu menopoli kuasa politik negara Sabah adalah satu indikator ataupun isyarat bahawa 'mereka tidak menghormati HAK' dan 'Kuasa Politik' bangsa Negara Sabah. Apabila kuasa politik negara anda dibawah cengkaman kuasa asing, inilah yang dapat didefinisikan sebagai 'penjajahan'.

Tindakan mereka yang ingin menguasai kuasa politik bangsa negara Sabah ini juga jelas bahawa mereka tidak menunjukkan sedikit pun rasa malu sebaliknya ketamakan itu dibuktikan melalui keinginan nafsu untuk mencengkam kuasa politik bangsa negara Sabah ini.

Adakah ini sesuatu yang boleh anda bertolak-ansur? 

Maruah

Disinilah dimana maruah bangsa teruji dan akan memperlihatkan sejauh manakah kekuatan pendirian kita untuk mempertahankan kuasa politik negara Sabah. Sebagai seorang ahli politik yang mengistiharkan diri sebagai seorang pejuang bangsa negara Sabah, perkara ini tidak boleh sesekali dipermainkan, diketepikan mahupun diperjudikan atas apa jua justifikasi kerana perbuatan itu akan memberikan impaknya yang besar. Ia sudah dibuktikan dengan sangat-sangat jelas daripada kerajaan pertama negara Sabah sehinggalah sekarang. Lihatlah dan nilailah dengan hati yang terbuka dan matang tentang status rakyat bangsa negara Sabah sekarang. Saya yakin anda sangat-sangat memahaminya.

Kerjasama

Kerjasama yang dapat dijalinkan sebetul-betulnya adalah melalui kerjasama membentuk kerajaan persekutuan hanya setelah apabila pihak pembangkang di malaya memenangi kemenangan mudah ataupun majoriti kerusi parlimen.

Bargaining Power

Dan pada saat inilah baru tuntutan hak negara Sabah dapat ditunaikan melalui perjanjian untuk membentuk kerajaan persekutuan baru. Jikalau pihak pembangkang malaya tidak bersetuju untuk menunaikan tuntutan hak kerajaan negara Sabah dibawah kepimpinan kerajaan tempatan baru, dan dalam keadaan yang sama juga dimana bn-umno enggan untuk bersetuju tentang pengembalian hak, maka kerajaan negara Sabah boleh sahaja membiarkan keadaan kerajaan tergantung yang mana malaysia tidak mempunyai kerajaan kerana tidak mencukupi syarat. Persoalannya, adakah malaya akan membiarkan keadaan itu berlaku? Sudah tentu tidak, bukan?

Inilah yang sebenarnya disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa kebangsaan negara Sabah yang berada didalam Gabungan Sabah ataupun juga dikenali sebagai United Sabah Alliance (U.S.A). Prinsip Perjuangan dan Pendirian ini tidak dimiliki oleh parti-parti lain.

Kesimpulannya, kita tidak boleh mengorbankan prinsip perjuangan dan pendirian yang diangkat bersama didalam Gabungan Sabah melalui justifikasi kerjasama yang tidak menghormati diri kita sebagai pemegang kuasa politik negara Sabah ini. 

Saya bersandarkan kepada realistik bahawa Gabungan Sabah sememangnya tidak mampu untuk menukar kerajaan negara Sabah pada masa kini jikalau bergantung kepada kapasiti kekuatan bilangan kerusi yang dipertandingkan (jangkaan 28 kerusi) tetapi saya optimis Gabungan Sabah boleh menukar kerajaan negara Sabah melalui persepakatan yang diberikan apabila parti pembangkang warisan memenangi sejumlah kerusi yang banyak namun tidak dapat membentuk kerajaan. Jikalau pun parti warisan dapat membentuk kerajaan sama ada dengan kemenangan majoriti ataupun kemenangan mudah, kekuatan Gabungan Sabah semakin bertambah melalui penambahan kerusi DUN dan Parlimen serta melalui penyebaran ideologi perjuangan seperti yang saya terangkan diatas ini. 

Ini akan membolehkan suara-suara Pejuang Kebangsaan Negara Sabah daripada Gabungan Sabah berkumandang dengan lebih nyaring lagi didalam Dewan Undangan Negara Sabah nanti dan pada masa yang sama bn-umno mahupun pakatan harapan menjadi semakin lemah kerana ideologi politik mereka akan ditolak oleh generasi-generasi muda negara Sabah yang menjadi pelapis kepada kuasa undi untuk setiap pru.

Perlu diingat bahawa rakyat negara Sabah memerhati perkembangan parti-parti politik yang benar-benar berjuang demi mereka. Keadaan seperti yang pernah berlaku pada era PBS itu akan pasti berulang sekali lagi tetapi ia memerlukan beberapa pusingan pru lagi. Saya sangat optimis akan perkara ini.

Jawapan yang saya berikan ini bukan bersandarkan kepada emosi tetapi adalah realistik serta disusuli dengan semangat yang seharusnya dan mesti dimiliki oleh setiap rakyat yang mengakui dirinya Sabahan.

Saya tidak nafikan bahawa ia tidak semudah bermada kata ataupun menaip tetapi saya benar-benar memaksudkannya dan disinilah tugas dan tanggungjawab sebenar ahli-ahli politik negara Sabah yang perlu dilaksanakan dengan jiwa seorang Pejuang Kebangsaan Negara Sabah dan sebagai seorang ahli politik yang berpegang kepada slogan 'Sabah for Sabahan'!

HARAPAN bangsa negara Sabah untuk melihat SABAH PROGRESSIF hanya dapat dikecepai melalui PERPADUAN dan juga SOLIDARITI TANAH AIRKU. KeCINTAan SABAH hanya akan timbul apabila kesedaran dan tanggungjawab itu difahami dan dipegang dengan nyawa.

Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.