Gabungan parti pembangkang negeri itu sedia berbincang dan menerima Parti Warisan Sabah menuju pilihan raya umum akan datang.

KOTA KINABALU: Gabungan Sabah tidak bimbang melihat kempen keahlian Parti Warisan Sabah (Warisan) menjelang pilihan raya umum akan datang dan mengamalkan dasar pintu terbuka untuk parti itu menyertai mereka.

Kempen keahlian Warisan mejadi perbualan masyarakat Sabah dan dikatakan berjaya menarik lebih 30,000 ahli baharu dalam masa kurang 3 bulan sejak pembentukannya.

Diketuai bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal, Warisan yakin akan kemampuannya memenangi pilihan raya akan datang, sementara timbalannya Darell Leiking yakin mereka mampu menawan beberapa kerusi negeri dan Parlimen tanpa bantuan parti lain.

Bagaimanapun, Gabungan Sabah, yang terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR) yang diketuai Datuk Jeffrey Kitingan, Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai Datuk Seri Yong Teck Lee, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang diketuai Datuk Seri Lajim Ukin dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPR) yang diketuai Arshad Abdul Mualap, juga yakin mereka juga mampu mencabar Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.

“Mereka (Warisan) aktif mengadakan jelajah dan begitu juga kami,” kata Lajim bagi pihak Gabungan Sabah selepas majlis memperingati ulangtahun ke-41 nahas kapal terbang yang membunuh 11 orang termasuk bekas ketua menteri Tun Muhammad Fuad Stephens.

“Kami juga percaya Sabah untuk rakyat Sabah dan berusaha merealisasikan prinsip ini. Kami tidak bimbang dengan kempen Warisan.

“Kami berharap suatu hari nanti akan ada kesaksamaan dalam agenda Sabah, bermakna tidak ada monopoli (dalam kerajaan) atau pihak dominan dalam gabungan kami. Kami mahu sama rata. Perlu ada terma rujukan yang membuka jalan kepada kerjasama yang baik.”

“Seperti yang anda tahu, kerjasama kami berdasarkan saling mempercayai, jujur dan ikhlas. Jika Warisan mahu sertai kami, kami sedia berbincang.”

Lajim turut menepis dakwaan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang mendakwa pembangkang cuba meraih sokongan dengan membuat dakwaan palsu terhadap kerajaan dan pakatan pemerintah.

“Kami yakin rakyat Sabah akan tentukan siapa yang harus menang,” kata Lajim. “BN kata mereka sudah melakukan tugas meningkatkan ekonomi dan melindungi rakyat dengan baik. Itu yang selalu BN katakan bila mempertahankan kedudukan mereka.

“Bagi kami, kami memperjuangkan keadilan, memenuhi keperluan akar umbi dan memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963.”

Musa meminta rakyat Sabah supaya jangan mudah terpengaruh dengan pembangkang yang hanya mahu memenangi undi mereka pada pilihan raya nanti.

Beliau berkata pembangkang kecewa selepas kehilangan kuasa dan kedudukan, dan cuba mewujudkan perpecahan dalam masyarakat.

Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.