Beaufort, 20 Julai : Seramai lebih 100 orang anggota Parti Warisan Sabah (Warisan) Beaufort bertindak meninggalkan parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap hala tuju dan perjuangannya khususnya di bahagian berkenaan.

Bekas Ketua Cawangan Warisan Kamarabau, Saidi @ Masden Kasneh berkata, beliau dan anggota lain memutuskan untuk meneruskan perjuangan politik bersama Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

“Selain hilang kepercayaan kepada kepimpinan Warisan khususnya di bahagian, kami juga kecewa dengan sikap pemimpin parti itu yang tidak menghormati ahli yang banyak membantu mereka.

“Justeru, kami membuat keputusan dan pendirian untuk berjuang bersama Harapan Rakyat yang dipimpin oleh anak kelahiran daerah ini iaitu (YB) Datuk Seri Lajim Ukin,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerimaan Kemasukan Ketua-Ketua Cawangan Parti Warisan Sabah dan Ahli Jawatankuasa Penyelaras Parti Warisan Sabah Bahagian Beaufort ke Harapan Rakyat.

Majlis disempurnakan Presiden Harapan Rakyat Datuk Seri Lajim Ukin disini, kelmarin dan turut menerima kemasukan ahli bagi cawangan Warisan kampong Binunuk yang diketuai ketuanya Salim Numing.

Saidi turut mengakui, parti yang diketuai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal itu tidak mendapat sambutan diperingkat akar umbi khususnya di daerah ini.

“Setiap kali kami berkempen untuk Warisan, boleh dikatakan, rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Lumadan tidak ramai yang menyokong parti itu.

“Malah mereka banyak menyuarakan untuk terus memberi sokongan kepada pemimpin anak tempatan khususnya yang lahir di daerah Beaufort,”katanya.

Justeru katanya, dia bersama ahli yang lain meletakkan azam dan tekad untuk terus membantu dan menyokong kempen Harapan Rakyat bagi memperjuangkan hak rakyat Sabah khususnya di Beaufort.

Sementara itu, Lajim berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima kemasukkan ahli dari pelbagai kaum di negeri ini bagi bersama memperjuangkan hak rakyat Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita tahu, bila kita ada rumah sendiri, kita boleh lakukan apa sahaja dengan rumah sendiri tanpa perlu menumpang orang.

“Oleh itu, saya bersama pimpinan Harapan Rakyat yang lain akan terus berjuang bagi memastikan hak rakyat terbela selain akan mengurangkan bebas tekanan hidup rakyat,”katanya.

Sumber: Wadah Harapan
Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.