1. Kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah Datuk Masidi Manjun bahawa kerajaan Sabah menerima pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan (TSA) 2017 menunjukkan bahawa kerajaan negeri yang ada sekarang ini tidak dapat berbuat apa-apa untuk mempertahankan hak-hak wilayah Sabah yang sepatutnya dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin Sabah ketika ini.

2. Isu utama kenapa kita harus menolak pelaksanaan TSA kerana ianya melibatkan maruah kita selaku penduduk wilayah Sabah yang sama-sama membentuk persekutuan Malaysia. Ini kerana jelas termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu apa-apa sahaja pindaan yang hendak dibuat oleh kerajaan persekutuan terutamanya yang melibatkan kepentingan wilayah Sabah khasnya dari segi hal-hal kewangan haruslah dirujuk terlebih dahulu kepada DUN Sabah untuk mendapatkan kelulusan. Oleh itu, pelaksanaan TSA ini tanpa dibahas atau dibincangkan didalam sidang DUN menampakkan satu usaha berterusan kerajaan persekutuan untuk meniadakan hak-hak Sabah seperti yang dipersetujuai bersama dahulu. Lebih memburukkan keadaan kerajaan negeri yang sedia ada tiadanya usaha untuk memperingatkan kerajaan persekutuan bagi tujuan mempertahankan kedudukan Sabah sebagai salah satu wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia dan bukaannya sebuah negeri di dalam Malaysia.

3. Mungkin kerajaan negeri dan Datuk Masidi lupa atau pura-pura lupa kenapa industri ini sangat penting dikekalkan seperti apa yang ada sekarang ini kerana ianya bukan sahaja membawa pulangan yang sangat lumayan kepada pendapatan Sabah tetapi juga ianya banyak memberi manfaat kepada rakyat Sabah itu sendiri. Datuk Masidi sendiri mengakui bahawa industri pelancongan ini adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah yang mana pada tahun lalu kerajaan Sabah telah memungut sebanyak RM6.4 bilion hasil daripada industri ini. Selain daripada penyumbang utama kepada pendapatan Sabah, industri ini juga membawa manfaat secara terus kepada rakyat Sabah seperti apa yang saya kongsikan dibawah.

i) Industri Kraftangan dan Industri Kecil dan Sederhana.
Kehadiran pelancong yang ramai ke Sabah akan membuka rezeki kepada golongan ini terutamanya pengusaha barangan kraftangan di luar bandar. Barangan kraftangan seperti gong, tikar, barangan rotan, kraftangan hasil laut dan banyak lagi adalah barang kraf yang amat diminati oleh para pelancong semasa mereka melancong ke negara kita. Pengusaha-pengusaha kraftangan ini pula adalah dikalangan orang-orang tempatan yang bergantung sepenuhnya daripada hasil kraftangan mereka untuk menyara keluarga.

ii) Membuka Peluang Pekerjaan Yang Banyak.
Perkembangan industri pelancongan di Sabah ini membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada anak-anak Sabah. Contoh kerja yang dijana daripada industri pelancongan ini ialah seperti pembuat barangan kraftangan, pekerja hotel, peniaga makanan dan minuman, pemandu pelancong, peniaga dan dan sebagainya. Di Kundasang pula banyak orang-orang tempatan disana yang mengusahakan ‘Homestay’ yang sangat diminati oleh pelancong kerana mereka dapat merasai suasana kehidupan di kampung. Hasilnya, ini bukan sahaja mengurangkan kadar penganguran dikalangan belia-belia di Sabah tetapi juga dalam masa yang sama dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.

iii) Mengembangkan Budaya Setiap Suku Di Sabah.
Industri pelancongan juga dapat memperkenalkan dan mengembangkan budaya Sabah yang unik lagi pelbagai kepada dunia luar. Hal ini kerana Sabah mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Suluk, Iranun, Bisaya, Cina dan lain-lain lagi. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya, cara pemakaian, cara pemakanan, persembahan kesenian, tarian dan permainan tradisional yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing untuk melihat atau mempelajari budaya unik masyarakat kita ini. Apabila banyaknya permintaan daripada pelancong untuk melihat budaya kita maka wujudlah kelab-kelab kebudayaan suku kaum masing-masing untuk dipersembahkan kepada para pelancong. Keadaan ini secara langsung dapat memperkenalkan Sabah ke seluruh dunia disamping dapat mengembangkan budaya kita ke serata tempat.

iv) Pengangkutan dan Perhubungan
Dengan perkembangan pesat industri pelancongan ini, syarikat-syarikat penerbangan seperti MAS, Air Asia, firefly dan lain-lain lagi berlumba-lumba untuk melebarkan sayap perniagaan mereka ke Sabah. Syarikat penerbangan ini juga turut mempromosi pelancongan Sabah di samping menawarkan perkhidmatan tambang murah bagi menarik pelancong untuk datang ke Sabah. Keadaan ini bukan sahaja memberi pulangan kepada Sabah dari segi pendapatannya tetapi juga ianya memudahkan rakyat Sabah itu sendiri untuk menggunakan perkhidmatan ini sekiranya mereka mempunyai urusan di luar Sabah.

4. Sebenarnya banyak lagi sumbangan industri ini sekiranya kita perhalusi dengan sedalam-dalamnya tetapi cukuplah dengan beberapa contoh yang saya kongsikan di atas sebagai ingatan kepada kepimpinan Sabah bahawa akta yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan ini seharusnya ditolak bagi menjaga maruah kita, mengekakalkan budaya , sebagai sumber pendapatan dan mengekalkan identiti wilayah Sabah itu sendiri.

5. Janganlah lagi kita terperdaya dengan kata-kata manis pemimpin persekutuan bahawa cukai TSA ini adalah untuk kebaikan bersama iaitu untuk membantu mempromosi industri pelancongan supaya industri ini terus berkembang maju. Kita harus ingat dan belajar dari cukai GST yang diperkenalkan oleh persekutuan dua tahun lepas. Sewaktu GST ini mula diperkenalkan mereka berjanji bahawa cukai ini akan dikembalikan juga kepada rakyat Sabah. Namun apa yang kita rasa sekarang ini, masalah air kita makin bertambah teruk, jalanraya tidak diselanggara, kemudahan pendidikan kita terus daif dan kita masih lagi memegang rekod sebagai negeri yang termiskin di Malaysia! Oleh itu, saya yakin pelaksanaan TSA ini mempunyai cerita yang sama dengan GST.

IR. JOVILIS MAJAMI
- Ketua Pergerakan Pemuda Negeri / Naib V, Parti Harapan Rakyat Sabah.
- Timbalan Pengerusi 2, Gabungan Muda Sabah (GEMA)
Labels:

Post a Comment

Author Name

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.